Perundangan Islam – Utamakan mencegah bukan menghukum
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ(13
وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ (14)- النساء: 13-
Yang bermaksud : Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. – Surah Al-Nisa’, ayat 13-14
Tema sambutan Hari Hududullah pada tahun 1432 Hijrah ini ialah “Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman”. Bermakna perundangan Islam termasuk hukum hudud amat mengutamakan prinsip mencegah dan mendidik umatnya ke arah keharmonian hidup bermasyarakat. Oleh itu, di dalam al-Quran, perkataan hudud disebut sebanyak 11 kali di dalam 7 ayat yang dirangkumi di dalam 5 surah yang berlainan.
Satu ayat daripadanya membicarakan tentang hukum hakam puasa, tiga daripadanya tentang hukum cerai dan iddah, dan satu ayat lagi membicarakan tentang hukum faraid atau pembahagian harta pusaka, seperti mana ayat tersebut di atas. Kemudian, satu ayat juga menceritakan sikap orang-orang munafik yang suka melanggar hudud Allah dan satu lagi membicarakan tentang hukum zihar.
Penelitian terhadap ayat-ayat tersebut memberikan kefahaman kepada kita bahawa hudud bukanlah bermaksud hukuman ke atas penjenayah terhadap kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina dan minum arak sahaja, tetapi lebih luas lagi ia mencangkupi semua batasan syariat yang ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, satu silap faham yang sangat dikesalkan apabila disebut hudud, maka digambarkan sebagai satu hukuman yang kejam terhadap pesalah. Malah dilabelkan pula sebagai undang-undang primitif yang ketinggalan zaman. Sedangkan setiap pekara yang dibatasi oleh syariat dengan hukum halal dan haram dalam kehidupan manusia adalah disebut “hududullah” (hudud Allah).
Contohnya makan minum, dihalalkan oleh Allah SWT tetapi memakan perkara yang haram dikira melanggar hudud Allah. Melunaskan tuntutan fitrah manusia untuk berpasangan dibenarkan oleh Allah SWT melalui ikatan perkahwinan dan diharamkan jika dilakukan melalui bersekedudukan tanpa berkahwin yang menyebabkan hubungan zina dan ia dianggap melanggar hudud Allah.
Nyata sekali, setiap perkara yang haram, melanggar perintah Allah SWT, maka dianggap melanggar hudud Allah SWT. Rasulullah SAW mengumpamakan perbuatan melakukan perkara yang haram ini seperti menceroboh tanah larangan milik Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Yang bermaksud : Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rusak. Ketahuilah, itulah qalb. – Hadis riwayat Bukhari.
Kekeliruan
Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan di dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah. Maka hudud telah diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan.
Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah.
Kita masih terngiang-ngiang kata-kata sinis yang dilontarkan sedikit masa lalu yang menyatakan: “Jika mahu menikmati sup tangan, silalah ke Kelantan’ dan “akan habislah batu-batu di Kelantan digunakan untuk melontar pesalah zina.” Paling dukacitanya, kata-kata itu terbit daripada bibir orang Islam sendiri.
Sekalipun kata-kata itu sudah lama diucapkan, tetapi kesannya telah memberikan imej yang negatif terhadap undang-undang Allah SWT.
Hasilnya, masyarakat bukannya semakin dekat dengan Islam tetapi semakin jahil dan semakin jauh daripada syariat Islam yang sebenar. Syariat Islam bukannya dilihat indah dam cantik, tetapi dilihat primitif, ketinggalan zaman, ouf of date dan sebagainya.
Tanggapan seperti ini bukan sahaja berlegar di kalangan non muslim bahkan masyarakat umat Islam sendiri masih keliru di dalam memahami keindahan syariat Islam yang sebenar.
Kekeliruan dan kejahilan ini bertambah parah apabila beberapa isu agama yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak ditangani sebagaimana yang diajar oleh Islam. Natijahnya, Islam semakin dipandang serong oleh masyarakat. Isu-isu seperti larangan non muslim memasuki masjid dan juga bacaan al-Quran di pembesar suara misalnya, ditangani dengan wajah yang lebih cenderung ke arah sentimen tanpa bimbingan ilmu yang sebenar. Hasilnya, sentimen yang dibakar bertambah panas sedangkan panduan sebenar Islam diketepikan.
Saya sifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan syariat Islam khususnya hudud merupakan golongan yang jahil dan tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri. Sekalipun mungkin mereka beragama Islam, tetapi Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah.
Hakikatnya, menolak undang-undang syariah samalah ertinya dengan menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku Pentadbir alam ini. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa, orang ini bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T, tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim.
Saya yakin, sebahagian besar daripada masalah ini ialah kerana kejahilan terhadap keindahan undang-undang Islam itu sendiri. Justeru, Kelantan mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan Hari Hududullah setiap tahun dan pada tahun ini pula diadakan seminar undang-undang syariah peringkat kebangsaan untuk memberikan pendedahan dari masa ke semasa kepada masyarakat agar apabila tiba saat dan masanya yang membolehkan hudud dilaksanakan, ia akan dilaksanakan dengan penerimaan dan kefahaman daripada masyarakat yang sudah terdidik dengan maklumat-maklumat yang benar.
Optimis
Saya optimis, jika wajah sebenar undang-undang syariah didedahkan, tidak akan ada suara-suara sumbang yang menolak pelaksanaannya nanti. Kata cerdik pandai tidak kenal maka tidak cinta.
Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar seminar ini dapat dilaksanakan dari masa ke semasa dan hendaklah dibuka penyertaannya kepada penyertaan masyarakat non muslim untuk datang mendengar dan mengemukakan persoalan agar setiap kemusykilan dapat dijawab oleh para ilmuan bukannya diperdebatkan di dada-dada akhbar sehingga menjadi isu politik yang bias.
Hasarat Kerajaan Negeri ialah untuk mempertingkatkan syiar Islam di Kelantan ini. Oleh itu, saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan sama ada negeri atau pesekutuan agar sama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan kualiti iman di kalangan rakyat dengan berkerjasama menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan cara masing-masing.
Mudah-mudahan kehidupan kita semua ini akan mendapat ihsan dan keberkatan dariNya.
Firman Allah SWT :
ولْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya”. –Surah Ali Imran, ayat 104.
Apa yang penting difahami bahawa hukum hudud ini bila dilaksanakan, bukannya pelaksananya adalah orang politik. Tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Itupun setelah menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu. Jadi tidak perlu untuk merasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik.
Justeru, saya mengharapkan agar tabiat menolak hudud ini dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat. Jika gejala penolakan ini tidak dibendung, saya bimbang menjadi satu trend yang sebenarnya membawa kesan yang tidak baik terhadap akidah umat Islam.
Jangan merasakan ini sebagai satu isu yang mudah kerana mempertikaikan hukum hudud sebenarnya mempertikaikan Allah SWT.
Penegasan Allah
Sebagai mengingatkan kembali, hayatilah penegasan Allah mengenai hudud yang bertaraf “tilka” memberi makna kehormatan, ketinggian dan peringkat atasan dari segi keutamaannya. Bermakna ia perkara penting. Maka orang yang tidak menerima hudud Allah, orang itu adalah orang durhaka!
Hukuman-hukuman hudud akan dilaksanakan oleh orang yang pakar mengenainya. Penghukuman hudud ada orangnya yang kita panggil hakim. Ia adalah tugas hakim bukannya orang politik. Maka rakyat atau mereka yang ragu, tidak perlu bimbang.
Kita juga kena ingat balik kisah “riddah” pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Keputusan beliau ialah mengisytihar perang terhadap golongan riddah. Lalu Saidina Abu Bakar menegaskan: “Usahkan orang tidak mengeluarkan zakat, orang yang tidak beri ‘tali hidung’ (‘iqal) unta, aku akan perangi mereka.” Ia bermakna perbuatan yang bersifat durhaka itu tidak bolleh dibiarkan, kerana bila dibiarkan akan rosaklah masyarakat (orang ramai).
Sama juga, dengan seseorang itu yang membiarkan bacaan fatihah secara tidak betul tajwid, akan berterusan dengan tidak betul. Sedangkan kerana bacaan tidak betul itu, mwenyebabkan ia berubah makna atau menjadi makna yang tidak betul.
Akhirnya, rakaman tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah istiqomah dan sentiasa mengambil tanggungjawab menjayakan misi hududullah ini.
*Olahan daripada ucapan pada Sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan, pada 22 Syawal 1432 bersamaan 20 September 2011, jam 10.40 pagi di Balai Islam Lundang, Kota Bharu.
No comments:
Post a Comment