Thursday, February 18, 2016

CERPEN 1: Engkau cukup sempurna padaNYA



“Ya Allah, panas membahang pagi ini menyebabkan kurang kudratku untuk mengelap keseluruhan kasut-kasut ini. Andai aku tidak dapat menyiapkan kerja-kerja ini, pastinya tuan-tuan kasut ini akan naik berang terhadapku”, bisik si anak kecil kurang upaya di tengah kota mencari rezeki.


Matahari merah menghangatkan tubuh si anak kecil ini, hatta panas yang membahang sedikitpun tidak mematahkan semangat si anak kecil ini untuk mencari rezeki di tengah kota Kuala Lumpur. 


Setiap hujung minggu, pasti kelihatan anak kecil ini ,mengesot-ngesot tubuhnya ke kaki lima Plaza WangsaJaya, dengan berpakaian lusuh, keadaannua tetap tenang dengan berlitupkan kopiah putih di kepalanya. Mencari sumber rezeki yang halal tanpa mempedulikan cacian daripada mana-mana insan yang tiada perikemanusiaan.

 
 “Aku harus kuat untuk berjuang di medan ini, aku ada nenek, dan aku tak nak nenek terbeban dengan keadaanku”, bisik Zakuan seraya menggenggam jari-jemarinya memberikan kekuatan untuk dirinya terus bersemangat dalam kehidupan. Semangat yang tidak luntur si anak kecil ini membuatkan neneknya merasa kagum dan terkadang timbul perasaan simpati yang teramat mendalam terhadap cucunya itu.


“Wei budak cacat! Aku nak duit! Bagi aku duit! . Aku nak duit ,” jerkah Saddam sambil merenung tajam kea rah Zakuan.
 
 “Aku mana ada duit. Duit ini aku nak bagi pada nenek aku. Aku nak belikan nenek aku makanan untuk tengahari ini”, balas Zakuan dengan nada penuh simpati.


“Argh! Aku peduli apa dengan nenek kau, mari keluarkan duit kau bagi pada aku. Kalau tak, aku tumbuk kau. Kau ni sudahlah cacat, nanti aku bagi cacat mata, cacat otak baru tahu.

“Tak perlulah engkau menjerkah aku seperti itu. Aku tahu keadaanku. Kalau kau nak wang, pergilah bekerja. Jangan suka membuli tak habis-habis”, balas Zakuan menjeling tajam ke arah Saddam. Api kemarahannya semakin marak membakar pabila diperlakuan seperti itu. Namun, marahnya terpadam pabila sebutan istighfar terlafaz daripada tuturan bibirnya.


Perbualan itu mencetuskan perbalahan yang sungguh menyayatkan hati pabila kelihatan kesan daripada pukulan dan tumbukan menyebabkan berdarah bibirnya, lebam pipinya akibat kesan tumbukan mengganas daripada Mohd Saddam.


“Zakuan, daripada mana, cu?”, tanya si nenek yang khusyuk menanti kepulangan cucunya tersayang.

“Daripada kota, nenek. Ada sedikit makanan yang Zakuan belikan untuk nenek. Makanlah, nek.”

“Kenapa lebam-lebam ni sayang. Zakuan bergaduh dengan siapa? Siapa berani buli Zakuan ?”, tanya nenek penuh prihatin dan simpati. Mengalir air matanya melihat kesan luka daripada tubuh cucunya itu.

 
“Zakuan terjatuh tadi, nek. Tak perasan ada lubang kecil dekat Lorong Ampang tadi”, jawab Zakuan acuh tak acuh. Sengaja disembunyikan perihal dia dibuli oleh kanak-kanak lain, bimbang nenek akan menghalangnya keluar ke ibu kota bagi mencari rezeki nanti.


“Sayang janganlah keluar lagi. Manusia di luar itu macam-macam ragam, cu”, cukup nenek pun ada wang simpanan. Tak usahlah bekerja lagi, ya cu?” rayu nenek. Di benak pemikirannya, sudah tahu bahawa Zakuan pasti berhelah untuk menyatakan keadaannya yang dibuli. Hatta, naluri seorang nenek pastinya benar, tanggapan itu pasti, cuma sengaja disembunyikan daripada pengetahuannya.

"Nek, Zakuan rindu dekat ibu, ayah.....kenapa mereka tak jenguk zakuan?".

Neneknya dengan penuh sayu menjawab, " Sayang, ibu dan ayah sibuk agaknya, nanti bila mereka sudah lapang, mereka datanglah jenguk-jenguk Zakuan".

" Mereka tak sayang Zakuan , ke nenek?", tanya Zakuan lagi.
Nenek menjawab, " Tidak sayang, mereka sayang Zakuan, mereka mesti selalu berdoa untuk Zakuan biarpun dari jauh", pujuk neneknya, Ruminah.

"Zakuan tahu zakuan tak sempurna, nek. Untung Zakuan ada nenek, kalau Zakuan tak ada nenek, siapa nak jaga Zakuan?", rintih Zakuan.

Neneknya terdiam hiba di anjung rumah. Kelihatan gugur manik-manik jernih dari kelopak matanya. Namun, cepat-cepat diusapinya supaya tidak terlihat dek cucunya yang begitu disayanginya itu. Dirinya juga sudah uzur, apatahlagi dengan batuk kering yang tidak henti-henti menyeksa tubuhnya. Namun, dengan kehadiran Zakuan, menjadi penyeri kepadanya dalam kehidupan seharian.

Suasana terang mengeratkan lagi persaudaraan adik Zakuan dengan Ustaz Munif, pemangkin semangat dan kekuatan dirinya untuk meneruskan kehidupan di bumi Pencipta ini.
"Ustaz, macam mana nak masuk syurga? " , tanya Zakuan memecah kesunyian malam.

" Senang saja, Zakuan buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang", jawab Ustaz Munif sambil tersenyum.

" Zakuan tak nak apa-apa, Cuma Zakuan minta Allah ganjarkan syurga untuk ibu dan ayah Zakuan. Ibu yang lahirkan Zakuan, Zakuan tahu ibu tak gembira dengan hadirnya Zakuan ke dunia, jadi Zakuan mahu ibu gembira bila dapat syurga daripada Tuhan ", bersungguh-sungguh Zakuan menjawabnya. Jauh di sudut hati terasa pilu yang teramat mendalam. Lantas dipeluknya nenek erat-erat, digenggam erat jari-jemari neneknya yang terlakar halus dek Pencipta Yang Maha Sempurna.

Tanggal 16 Julai 2012....

Si anak kecil ini menyambut hari lahirnya dengan nasi berlaukkan garam. Bibirnya tetap tersenyum walau di hati terpendam perasaan hiba kerana mengenangkan ibu bapanya yang meminggirkannya jauh daripada sisi.
"Terima kasih, nek sebab sambut hari jadi Zakuan. Harini dapat makan nasi, syukur pada Allah, kan nek?.

"Nek, Zakuan mintak ampun daripada nenek, selama ini, Zakuan selalu menyusahkan nenek, nak berjalan ke sana ke sini semuanya dengan bantuan nenek", rayu Zakuan.

"Nenek jangan tinggalkan Zakuan, ye, Zakuan perlukan nenek. ", meleleh-leleh air mata Zakuan , begitulah sayu si anak kecil ini sambil memeluk nenek kesayangannya itu.


Namun, kuasa Allah melebihi perancangan manusia. Tuhan lebih menyayangi neneknya, Inna lillahi wainna ilaihi rojiun ...

Lantas , Zakuan kehilangan nenek yang menjadi peneman dan kekasih hatinya yang setia. Neneknya yang uzur itu ditemui meninggal dalam sujudnya menyembah Tuhan Yang Abadi.


Suasana di sepertiga malam membangkitkan adik Zakuan daripada lenanya, menyembah sujud akannya menghadap Allah s.w.t, bercucuranlah air matanya mengaku kelemahan dan kekurangan sebagai seorang hamba. Mengadu dan merintihlan dia pada Allah akan rasa kerinduannya terhadap insan-insan yang bermakna dalam hidupnya.


" Ya Tuhan, aku kini kehilangan nenek yang begitu aku kasihi,
Aku kehilangan punca kasih kini, Ya Allah....
dengan siapa aku ingin berbicara,
dengan siapa aku ingin adukan nasibku,
dengan siapa aku ingin bermanja,
siapa pula yang hendak mengelap air mataku,
menyambut kepulanganku setiap hari - hariku,
mencium dahiku setiap selesai solat bersama,
menyuap makanan ke mulutku dengan sentuhan seperti seorang ibu,
melindungi aku bila aku dikeji orang sekelilingku,
aku kehilangan seorang yang aku kasihi,
seorang yang aku rindui,
berkatilah dan cucurilah ruhnya Ya Allah,
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Amin Ya Robbal Alamin..


Sayu dan pilunya hati seorang Zakuan yang telah kehilangan nenek tercinta. Walaubagaimanapun, Zakuan telah dipelihara oleh Ustaz Munif dengan baik.

" Ustaz, ada lagikah orang yang menyayangi Zakuan dekat atas dunia ini?", tanya Zakuan seikhlas hati.

"Ada, Zakuan. Ibu dan ayah Zakuan. Mereka pasti doakan Zakuan supaya jadi anak yang baik", jawab Ustaz Munif dengan tenang.

" Zakuan tahu, ustaz. Kalau nenek ada, mesti nenek orang pertama yang akan beritahu Zakuan bahawa nenek orang yang pertama sayang Zakuan. Ustaz nak tahu, waktu nenek masih ada, nenek selalu bagi Zakuan hadiah, dan hadiah itu sangat berharga buat Zakuan."

"Hadiah apa, Zakuan?".

"Nenek hadiahkan Zakuan kopiah putih , sejadah, dan tasbih. Nenek kata, kalau nenek dah tak ada, ingatlah nenek dengan hadiah ini dan nenek selalu kata , "ini saja yang mampu nenek bagi, cu..".

"Zakuan tak kisah, Zakuan tahu nenek nak ajar Zakuan selalu dekat dengan Allah, bila susah cari Allah, bila senang pun cari Allah...", sambil tersenyum Zakuan berbicara.


Sebelum melelapkan mata, Zakuan menyanyi lembut seperti berbisik menghadap jendelanya, sambil memegang biji tasbih pemberian neneknya.

Allah engkau dekat, Penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau Biarkan hamba Mu menangis
Karna kemurahan Mu , Kerna kasih sayang Mu...

Menitik setitik demi setitik air mata membasahi lapik kamarnya.

"Ya Allah, aku redha dengan ketentuanmu..
aku bersyukur dengan kurniaanMu,
bila mana Engkau mengujiku,
Aku secara tidak sedar,
menjadi orang yang paling rapat dalam mengasihiMu,
aku redha dengan taqdirMu untukku,
Andai ini yang membuatkan aku hampir denganMu,
aku redha dengan setulus hatiku..
aku serahkan hatiku, diriku , jiwaku hanya untukMu,
aku yang lemah tidak mengharap apa-apa lagi,
hanya Engkau sebagai pelindungku.
Engkau Mengasihiku,
sedang aku cacat anggota,
namun aku bersyukur kerna tidak cacat hati untuk mengenaliMu.
Jadikanlah aku orang yang sempurna pada penglihatanMu,
walau aku tidak sesempurna insan di sekelilingku,
jadikan aku orang yang sabar dan teguh,
agar aku tidak berhenti berharap padaMu.

Amin, Ya Robbal Alamin.”.

2 tahun kemudian,

“Tahniah, Zakuan, anda dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang pada tahun ini. Dengan ini, anda dijemput untuk sesi temu bual bersama Yb Zaki di sidang Radio HOT FM.



'Assalamualaikum, andai ibu dan ayah Zakuan mendengar, alangkah berbesar hati Zakuan , dan bersyukur pada Allah. Zakuan tahu ibu dan ayah rindukan Zakuan. Zakuan pun tetap merindui ibu dan ayah. Nenek selalu berpesan, kalau rindu, Zakuan kena bacakan Al-qur'an untuk sampaikan pada ibu dan ayah, dan solat 5 waktu jangan tinggal. Nenek kata lagi, kalau Zakuan rindukan ibu dan ayah, Zakuan selalu kena berdoa untuk ibu dan ayah selalu".

" Zakuan cuba. Tapi semakin hari Zakuan semakin rindu pada ibu dan ayah. Zakuan sering menangis bila Zakuan melihat kawan-kawan Zakuan dipeluk oleh ayah dan ibu mereka. Tapi Zakuan tak kisah, sebab Zakuan tahu ibu dan ayah akan balik jumpa Zakuan. Ibu dan ayah pergi jauh untuk dapatkan rezeki untuk Zakuan, kan? Zakuan harap ibu dan ayah akan kembali pulang. Nenek selalu cakap, Ibu dan ayah akan pulang.

Kembalilah ayah. Zakuan rindu, ibu, ayah".

Setelah tamat sidang radio, Zakuan menyatakan hasratnya,

" Kalau boleh, Zakuan nak jumpa nenek, Zakuan nak bagi keputusan ini pada nenek. Sampaikan salam Zakuan pada ibu dan ayah kalau Ustaz jumpa. Katakan pada mereka, Zakuan tak berhenti berharap untuk berjumpa mereka. Zakuan rindu sangat pada mereka. Ini hadiah Zakuan, kopiah Zakuan, tasbih dan sejadah ini , berikan pada ibu dan ayah. Inilah sumber kekuatan kehidupan Zakuan selama berjuang di atas muka dunia tanpa anggota tubuh badan yang sempurna.

Usai selesai sahaja solat subuh, Zakuan kelihatan tidak bangkit-bangkit dari sujudnya. Ustaz Munif yang menyedarinya menggerakkan tubuh Zakuan yang sudah kaku tidak bermaya.

Inna Lillahi wa inna Lillahi Rojiun, ‘bisik ustaz munif dengan sayu ditinggalkan insan yang penuh tawadhok dan luar biasa itu.

Kepulangan ibu dan ayah Zakuan yang diharap-harapkan hanyalah mengundang penyesalan apabila mengetahui anak mereka sudah tiada lagi di dunia. Hanya sekeping surat sempat dikirimnya.

" Salam sayang, ibu, ayah...
Ini Kopiah Zakuan, ini saja kopiah yang Zakuan ada, tapi Zakuan sangat
sayang dengan kopiah ini, kopiah ini melindungi zakuan, dari panas, hujan.
Ini sejadah Zakuan, kalau Zakuan tak tahu nak luahkan dan MEnangis pada
siapa-siapa, dengan sejadah inilah Zakuan penuhkan dengan air mata
memohon pada Tuhan Yang Maha Kuasa.

Ini tasbih Zakuan. Kalau Zakuan diejek oleh rakan, Zakuan akan sentiasa kuat dengan mengingatiNYA. Cukup bagi Zakuan yang tidak punyai harta dan apa-apa, namun inilah yang amat berharga sepanjang hidup Zakuan di dunia. Ku alunkan zikir untukmu, ibu , ayah. Ku alunkan bacaan al-qur'an kalamullah hadiah istimewa dariku,
hanya itu yang aku mampu..
salam sayang, dari anakmu..
Zakuan.

Tersentak ibunya membaca warkah itu.
"Engkau teramat istimewa dan sempurna padaNya, sayang, moga Engkau ditempat di syurgaNYA", doa ibunya kepada anak yang begitu berbakti kepadaNya.

-Tamat-
cerpen pertama 2013; Majalah Sinar Rohani & I LOVE ISLAM
nukilan:asyiqazhad

No comments:

Post a Comment

Family

Family
cousin, ibu saudara, adik dan abang.

Mum n Dad ..

Mum n Dad ..
Hanya Dia yang Tahu betapa sayangnya saya pada mereka ^_^

Usrati Jannati.

Usrati Jannati.
Pemangkin kekuatan diri..