Berdakwah dalam karya
TERBARU...novel Sebarkan Cinta-Mu adaptasi daripada tesis sarjananya.
LEMAH lembut gaya dan tutur kata menyerlahkan lagi pesonanya sebagai seorang penulis novel Islamik. Malah setiap butir bicaranya dilontarkan dengan begitu berhati-hati agar setiap perkataan yang diucapkan sentiasa tersemat dengan nasihat dan teladan.
Bagaikan tidak cukup masa pula mendengar setiap kisah serta pengalamannya sebelum dan selepas bergelar penulis novel. Ternyata Fatimah Syarha Mohd Noor mempunyai karisma tersendiri sehingga berjaya menarik perhatian ramai generasi muda yang menggemari hasil tulisannya.
Sambil tersenyum, Fatimah mengimbas kenangan silam pengalamannya dalam bidang penulisan, sehingga menjadi seorang yang dikenali ramai kini.
Fatimah bermula dalam dunia penulisan sejak di bangku sekolah lagi. Sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, dia mula merangka secara ringkas mengenai matlamatnya dalam memagar diri daripada terpengaruh dengan desakan hiburan dan dunia semata-mata.
Minatnya dalam penulisan semakin mendesak apabila menginjak ke pengajian peringkat matrikulasi selepas melihat budaya bercinta di kampus ketika itu.
“Saya lihat terlalu ramai rakan yang terbabit dengan budaya bercinta di kampus dan daripada situ, saya dapat idea untuk melengkapkan lagi rangka yang dikumpul sejak di bangku sekolah.
“Mesej yang cuba disampaikan dalam cerpen pertama saya adalah mengenai cita-cita yang harus dicapai terlebih dulu, bukan hanya lalai mengejar cinta yang fana semata-mata.
“Bukan itu saja, saya turut menyelitkan penerapan kesatuan dalam kehidupan majmuk di negara ini yang sentiasa memerlukan sikap toleransi dan cara berinteraksi dengan baik antara satu sama lain.
“Selepas berjaya menghasilkan kisah di kampus itu sehingga karya setebal 80 muka surat, saya cetak dan edarkan kepada rakan yang terbabit dengan budaya sebegitu.
“Ia sebagai satu cara untuk berdakwah kepada rakan seperjuangan kerana jika ingin menyampaikan dan menasihati secara bersemuka, ia mungkin agak sukar.
“Jadi saya jadikan karya ini sebagai satu wadah menarik untuk sama-sama dibaca oleh rakan-rakan agar mereka dapat berfikir sendiri mengenai situasi yang dialami.
“Umpama memberikan makanan yang enak kepada remaja tetapi kita lemparkan ke muka mereka. Itu sudah pasti menyebabkan mereka berasa seperti maruah mereka dipermain-mainkan.
“Hasil tulisan ini seolah-olah hidangan lazat yang dipersembahkan dalam keadaan sempurna dan nampak enak diletakkan dengan baik di hadapan mereka.
“Saya rasa cara sebegini lebih baik daripada kita menasihati dan menegur remaja dengan kata-kata kesat serta meninggi suara yang akhirnya membuatkan mereka rasa seperti dihina,” katanya.
Menurut Fatimah, menghasilkan novel bagi menyebarkan dakwah secara mendalam adalah cara terbaik untuk memberi nasihat kepada remaja yang kebanyakan mereka kini mendambakan cinta fana yang bersifat sementara saja.
Disebabkan itu, kesemua hasil tulisannya berkonsepkan novel tauhid yang menekankan bahawa dalam menangani setiap masalah, ia akan kembali kepada pencipta kita iaitu Allah.
“Ramai remaja menyalurkan cinta dengan memikirkan dunia saja hingga menyebabkan perasaan indah itu cepat berakhir, rapuh dan mudah putus.
“Saya cuba menyampaikan kepada remaja melalui novel dihasilkan supaya mereka dapat memahami cara sepatutnya untuk menyalurkan cinta abadi sekali gus menjadi pegangan untuk cinta kepada Allah.
“Jadi, saya menulis kerana ingin memberi motivasi daripada iman dan kesedaran untuk berdakwah kepada masyarakat khususnya remaja,” katanya yang begitu menekankan prinsip keagamaan dalam setiap penulisannya bagi membimbing remaja untuk terus berada di jalan yang betul.
Tambah penulis muda berusia 27 tahun ini lagi, cerpen pertamanya yang bertajuk Seindah Mawar Berduri membuatkan namanya dikenali sehinggakan ada peminat yang memuat turun di Internet untuk tatapan pembaca lain.
Ia membuatkan saya berasa sudah tiba masanya menghasilkan sebuah novel lanjutan daripada kisah yang cuba disampaikan menerusi cerpen itu.
“Bermula daripada situ, nama saya mula dikenali dan pensyarah ketika itu (Dr Zahazan Mohamed) tahu mengenai cerpen terbabit.
“Kebetulan dia juga selaku pengarah di sebuah syarikat penerbitan buku meminta saya menghasilkan novel daripada kisah yang diceritakan di dalam cerpen itu.
“Akhirnya, novel sulung berjaya dihasilkan menerusi idea daripada cerpen berkenaan. Hasil daripada kisah penceritaan yang diterbitkan itu dihantar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan berjaya mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Jubli Emas DBP pada 2006,” katanya.
Ceritanya lagi, Dr Zahazan terus memberikan galakan dengan melantik dirinya menjadi Ketua Panel Editor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Melalui perlantikan itu, dia dikehendaki mengumpul seramai 20 pelajar bagi menyiapkan projek penulisan buku motivasi.
“Kumpulan yang berjaya disatukan itu diminta untuk menghasilkan buku motivasi melalui ceramah Datuk Dr Fadzillah Kamsah.
“Kami hanya mengambil ringkasan melalui ceramah yang didengari menerusi kaset dan idea terbabit dikembangkan sehingga menjadi sebuah buku.
“Usaha yang dilakukan oleh Dr Zahazan itu adalah bagi memberi peluang kepada kami untuk menaikkan nama di bidang penulisan melalui gandingan nama baru dengan mereka yang sudah terkenal,” katanya.
Kini, walaupun masanya begitu padat, Fatimah berjaya menghasilkan sebuah lagi novel terbaru untuk tatapan peminatnya bertajuk Sebarkan Cinta-Mu.
“Novel terbaru ini dihasilkan melalui tesis sarjana pada 2010. Ia banyak memaparkan kisah realiti yang diadun dengan fakta fikah, sirah dan undang-undang syariah.
“Ia juga boleh dijadikan sebagai panduan dan rujukan secara tidak langsung kepada pembaca yang mempunyai kisah berkaitan dengan apa yang saya tulis di dalam novel ini,” katanya dengan rasa terharu kerana cetakan pertama novel itu sudah habis terjual dalam masa tiga minggu saja.
Tambah wanita yang dilahirkan di Terengganu itu, walaupun masanya sibuk dengan kerjaya sebagai penulis, dia kini masih meneruskan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah.
Bergelar sebagai penulis dan pada masa sama menjadi ibu kepada dua puteri bukan alasan melupakan cita-citanya untuk terus berjaya dalam pelajaran.
Biarpun kini kerjaya sebagai penulis dan pelajar semakin sibuk, Fatimah masih menerima jemputan daripada pihak tertentu untuk memberikan motivasi kepada pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan tidak terkecuali di masjid.
“Kebiasaannya mereka menjemput saya untuk memberikan ceramah mengenai masalah remaja masa kini yang berkaitan dengan cinta.
“Soalan yang ditanya biasanya mengenai masalah remaja, keluarga, hukum-hakam dan fikah,” katanya yang kini menimba ilmu menghasilkan skrip drama agar kerjayanya tidak hanya di bidang penulisan dan motivasi semata-mata.
Penyampaian di televisyen melalui drama atau filem mungkin lebih berkesan dan ia dapat diterima terus oleh remaja dan masyarakat.
“Penyebaran dakwah melalui drama menjadi alternatif lain bagi mengajak remaja agar tidak terpesong jauh semata-mata mengejar cinta di dunia saja,” katanya yang turut mendapat sokongan padu daripada suaminya.
PROFIL:
NAMA: Fatimah Syarha Mohd Noordin
ASAL: Terengganu
TARIKH LAHIR: 17 Oktober 1984
PENDIDIKAN: Sarjana Fiqh dan Usul Al-Fiqh, UIAM
http://www.hmetro.com.my/articles/Berdakwahdalamkarya/Article
No comments:
Post a Comment