Pages

Wednesday, January 15, 2014

CERPEN: SERUAN DAIE...



"Ya Allah.. Hamba berdosa padaMu. Ampunkan dosa hamba. Tiada yang dapat mengampunkan dosa hamba selain daripadaMu".  Air mata taubat mengalir ke pipi, alunan istighfar ditutur tanpa henti. Bisikan doa di malam hari menjadi saksi  dan penghubung antara sang hamba dan PenciptaNya. Cukup sunyi pada sepertiga malam. Kesejukan menambahkan kemalasan bagi sang hamba yang kerdil untuk bangun menghadapNya. Jam di dinding tepat jam 4.30 pagi. Kemalasan dan kemaksiatan selalu menjadi penghalang untuk para hamba bangun merintih di hadapanNya di sepertiga malam. Berbeza dengan Muhammad Fakir, seorang anak muda yang begitu kental dengan urusan dakwah di kampus. 



"Lihatlah daun-daun yang gugur ini, dan renungkanlah ke dalam hati kita. Mungkin hari ini giliran daun-daun ini untuk gugur.E esok, lusa atau tulat pasti akan tiba juga giliran kita untuk gugur lalu kembalilah kita ke pangkuan Allah azza wajalla. Bagaimana agaknya keadaan kita kelak. Adakah kita akan terpelihara daripada seksaan kubur, adakah kita akan terlepas daripada persoalan - persoalan mungkar dan nakir, dan adakah kita kelak layak ditempatkan di syurga bersama orang-orang yang beriman.....", ungkap Fakir dalam halaqah usrah bersama sahabat-sahabatnya. sahabat-sahabatnya yang lain tunduk membisu. Muaz menggenggam tangan sahabat-sahabatnya yang berada di situ sambil menitiskan air mata keinsafan. 



"Aku berharap agar kita semua dipertemukan di syurga dan aku berharap agar kita semua bisa terselamat daripada azab api neraka.," luah Muaz dengan penuh pengharapan. Pertemuan itu diakhiri dengan bacaan doa rabitah, antara doa yang mengikat hati-hati yang bersatu memikul tugas dakwah.



"Ish ish ish......Depa ni asyik melepak dekat kantin sahaja, berbual - bual kosong. Sekarang waktu dhuha, daripada depa duduk melepak di kantin saja, baik depa pi semayang dhuha....."  kata Saad kepada Fakir dan Muaz.


"Hang dah pi sembahyang dhuha ke belum?" soal Fakir.



"Sat gi aku pi lah...." jawab Saad.



"Saad, tak baik berkata sebegitu. Mungkin mereka dah menunaikan solat dhuha di bilik mereka atau mungkin mereka sudah solat lebih awal lagi daripada kita. Kita tak boleh berkata melulu sekalipun sangkaan kita itu mungkin benar. Kita juga perlu bersangka baik dan apa yang penting kita tidak boleh merendah-rendahkan orang lain. Mungkin cara mereka tidak sama dengan kita, tetapi mana tahu amalan mereka lebih Allah terima....." nasihat Fakir penuh kelembutan kepada Saad. Saad tertunduk malu lalu bingkas meninggalkan Fakir dan Muaz tanpa sebarang kata.



Ya Allah. Apa yang telah aku ungkapkan tadi? Benar kata Fakir, aku tak sepatutnya berkata sebegitu. Ya Allah ampunkan dosaku dan buangkanlah sifat-sifat mazmumah yang berada dalam hatiku. Fakir, terima kasih atas teguranmu. Monolognya bersendirian.




*   *   *

"MAT, dah bunyi azan. Jom kita ke masjid solat berjemaah." pelawa Fakir.


"Tak sempatlah, aku nak balik tidur. Kelas ada pukul 2 tengahari nanti, aku nak rehat dulu."


"Ok. Tak apa. Aku pergi dulu, ya?".


"Kau tak letih ke, Fakir. Kau tak nak balik dulu dan berehat di asrama?"


"Tak apa, aku boleh berehat di masjid sahaja. Boleh iktikaf sekejap..." 


"Kalau macam tu, aku nak ikut pergi masjidlah, solat berjemaah sekali."



Selesai solat Zohor berjemaah, Fakir tercari-cari seorang sahabatnya yang tidak ditemukan dalam saff seperti hari-hari biasa. 


"Yusuf mana, ya? Selalu ada waktu Zohor. Hari ni dia tak ada pula."


"Yusuf?  Dia tak hadir kuliah hari ni. Demam." Jawab Zaid.


"Patutlah tak nampak kelibat dia hari ni. Jom ziarah dia lepas kelas nanti."

*  *  *



"Apa khabar, Yusuf. Bagaimana keadaanmu?"


"Beginilah keadaannya, Fakir. Tak larat nak pergi kuliah."


"Yusuf  dah makan?"


"Belum."


"Ahmad, tolong pinjamkan rice cooker dekat bilik sebelah. Kita buat bubur nasi untuk Yusuf ".


"Biar betul, Fakir. Pandai masak ke?".


"Tak tahu. Hang pi tanya resipi kat mak hang sat..."


"Ok. Roger. Aku sms mak aku sat..."


"Fakir, Ahmad, terima kasih banyak-banyak sudi datang melawat. Sedap bubur hampa buat. Rasa nak lagi. Kalau sakit macam ni, boleh dapat makan free selalu. Sedap pulak tu......" luah Yusuf dengan nada manja.


"Yusuf, Yusuf..... Kita berdoa biarlah minta sihat...."


"Fakir, Ahmad. Sebelum hampa keluaq, cek nak peluk hampa sat." Berguguran air mata Yusuf. Terharu dengan keprihatinan yang sering dilontarkan oleh mereka berdua terhadapnya.


"Yusuf.... Jangan menangis. Macam perempuanlah hang ni. Hang nak pi masjid tak maghrib nanti? Kalau hang nak pi, cek mai papah hang. Kalau tak, kita solat berjemaah sekali dalam bilik Yusuf?"  Soal Fakir.


"Aku nak pergi masjidlah. In sya Allah, lepas aku telan ubat, ok lah nanti."


"Baguslah. Aku rindu nak dengar suara hang mengaji."

*  *  *



"KITA INI IBARAT musafir yang sedang mengembara di bumi pinjaman Allah. Allah hamparkan kehidupan ini sebagai tempat ujian untuk menilai diri kita sebagai seorang hamba. Kita nak tempah tiket ke syurga perlu berusaha dan berkorban. Hidup di dunia ibarat pentas lakonan. Kitalah wataknya. Pengarahnya ialah Allah. Yang akan menilai kita nanti juga Allah......" bicara Yusuf  dalam kuliah maghrib. Yusuf seorang insan yang baik dari sudut akhlak bahkan memiliki kelebihan suara yang cukup merdu. Masjid sentiasa diimarahkan dengan alunan-alunan zikrullah dan majlis-majlis ilmu. Pasti akan ada yang bertanyakan tentang Yusuf jika tidak kedengaran suaranya yang sering mengumandangkan seruan azan dan mengimami solat-solat fardhu.



"Fakir, Yusuf. Nanti tolong bangunkan Muaz sebelum subuh nanti. Takut tak tersedar. " pinta Muaz. 


"Kalau sedarlah.. Kalau tak, maaflah". Jawab Yusuf.


"Tak apa... Niat itu yang penting.." jawab Muaz slumber.

*  *  *


"YUSUF, Muaz bangun... Dah pukul 4.30 pagi. Bangun! Bangun!".  Suara Fakir memecah kesunyian malam.



"Sekejap lagi, mengantuk sangat", jawab Muaz sambil menarik selimut kembali.


" Bangun Muaz. Malam tadi bersungguh-sungguh minta dikejut."  kata Fakir sambil merenung dengan penuh kasih terhadap sahabatnya itu.



Alunan ayat-ayat Al-Quran dibacakan sendirian oleh Yusuf secara perlahan manakala Fakir masih khusyuk mendirikan solat-solat sunat.  Muaz pula baru selesai mendirikan solat sunat tahajud. 



"Muaz, Yusuf. Kalian sudah buat witir?


"Belum Fakir. Mari kita solat dan berdoa sekali?"


"Ya Allah. Kami menadah tangan yang penuh dengan sarat dosa. Kau ampunilah dosa-dosa kami. Kami sering alpa, Ya Allah. Kami begitu lemah Ya Allah. Terkadang kami gagal menempatkan Engkau satu-satunya di hati kami. Lisan kami, hati kami  seringkali melupakanMu. Adakah Engkau akan menerima solat kami , ibadah-ibadah kami yang penuh dengan kekurangan?



Ya Allah.....
Ampunkanlah segala dosa ibu bapa kami yang telah melahirkan dan membesarkan kami. Kau berkatilah mereka dan Engkau tambahkanlah rezeki mereka. Tidak ada harta berharga yang dapat kami berikan selain doa yang bisa dititipkan. Kami teramat sayang pada ibu dan ayah kami yang tercinta. Gantikanlah segala kesakitan dan pengorbanan mereka di dunia ini dengan mahar yang begitu indah di syurga. 



Ya Allah, tempatkan kami di syurga bersama ibu bapa kami, keluarga kami, sahabat-sahabat kami,  kaum kerabat dan umat Islam. Sungguh, kami merayu padaMu. Jadikanlah baki-baki usia kami ini sebagai peluang untuk kami kembali menghampiriMu. 



Sudilah memimpin kami, Ya Allah dan sudilah memandang wajah kami di akhirat kelak, Ya Allah. Matikanlah kami dengan kesudahan yang baik dan izinkan kami melihatkan wajah kekasihmu yang mulia..................................



Doa Fakir terhenti. Apabila menyebut nama kekasih yang mulia itu terasa semakin bergetar suaranya. Semakin kuat esakannya. Yusuf dan Muaz yang berada di sisi turut mengalirkan air mata. Bagaimana mungkin dapat kami bertemu dengannya? Perjuangannya sendiri tidak bisa kami pikul dengan baik dan penuh ikhlas. Terkadang juga kami mengeluh keletihan. Ya Rasulullah. Bagaimana bisa dirimu sebegitu tabah menghadapi setiap ujian? ............................................



"Yusuf. 5 minit sebelum masuk waktu Subuh tolong kejutkan Fakir. Fakir nak tidur sekejap. Gerakkan nanti, ya?" pinta Fakir.



"Baik..." jawab Yusuf kehairanan. Pelik pulak Fakir ni... Selalunya Fakir akan pergi ke setiap bilik dan mengetuk pintu bilik sahabat-sahabat yang lain untuk bangun solat subuh berjemaah. 



"Muaz, pergi ketuk bilik sahabat dan kejutkan mereka?"  pinta Yusuf.


"Fakir kan ada." jawab Muaz.


"Fakir nak tidur sekejap". jawab Yusuf.


Muaz bangun mengerling ke arah Yusuf yang sedang nyenyak tidur. Pelik Fakir, selalu dia yang sibuk mengejut sahabat bangun subuh.


"Fakir, jadi imam." pinta Yusuf.


"Yusuflah. Fakir kurang sihat."  ucap Fakir.


" Tak mahu. Kami undi PU Fakir."


Fakir ke hadapan, mengambil tempat dan tugas menjadi Imam. Sempat lagi dia tersenyum kepada sahabat-sahabatnya yang lucu itu.  


Selepas berdoa, Fakir rebah dan sempat dipangku oleh Yusuf yang duduk di belakangnya.


"Fakir! Fakir! Kenapa Fakir?"  soal Yusuf penuh gelisah.



"Yusuf, Fakir rasa terlalu lemah. Fakir rasa Allah mahu jemput Fakir pulang. Fakir minta maaf daripada semua. Sampaikan salam rindu buat ibu dan ayah Fakir dan katakan Fakir memohon ampun dan redha mereka."



"Mengucap Fakir, Ashadu an la ilaha illallah, waasyhadu anna muhammadun Rasulullah...........".



Kalimah itu dialun dengan cukup sempurna oleh Fakir. Air mata Yusuf dan sahabat-sahabat yang lain mengalir deras. "Fakirrrrrrrrrr..." jerit Yusuf perlahan sambil memangku tubuh sahabatnya yang tidak bernyawa itu. Bacaan Yassin dikumandangkan. Terasa aneh. Kebiasaan Solat subuh tidak terlalu ramai jemaah yang hadir. Selalu yang hadir sahabat-sahabat Fakir se'blok sahaja. Pada kali ini penuh ruangan masjid.



Yusuf lemah. Putus kalam. Lututnya seakan-akan tidak berfungsi. Muaz datang menghampiri sambil menenangkan Yusuf yang terlalu sedih. 



"Yusuf, sabar. Terimalah andai itu sudah ketentuanNya. Sudah masa untuk dia kembali. Pasti selepas ini kita akan mengekorinya. In sya Allah, di syurga..........kita akan dipertemukan kembali..........."  ucap Muaz tersekat-sekat sambil memeluk erat Yusuf.



"Aku tak sangka Muaz. Fakir akan pergi secepat ini meninggalkan kita. Baru sebentar tadi dia mengimami kita, Muaz. Baru sebentar tadi dia membacakan doa di sisi kita, baru sebentar tadi dia mengejutkan kita bangun beribadat kepadaNya. Moga Allah merahmati rohnya. Fakir terlalu baik, Muaz. Dia yang sentiasa memberikan aku kekuatan di dalam jalan dakwah ini, dan dia tak pernah jemu menasihatiku. Bagaimana untuk aku merasa tidak sedih kerana di setiap hari dia akan memanggilku untuk solat fardhu bersama bahkan pada setiap malam, dialah yang sering ke bilikku lalu membangunkan aku untuk solat bersama-sama dengannya. Bubur yang dimasakkan olehnya beberapa minggu lalu itu adalah yang terakhir untukku."  luah Yusuf dengan nada sedih.

*  *  *



SUATU PETANG, Yusuf keluar berusrah bersama-sama temannya di bawah pohon rendang. Lalu diungkapkan kata-kata ini, "Lihatlah daun-daun yang gugur ini, dan renungkanlah ke dalam hati kita. Mungkin hari ini giliran daun-daun ini untuk gugur. Esok, lusa atau tulat pasti akan tiba juga giliran kita untuk gugur lalu kembalilah kita ke pangkuan Allah azza wajalla. Bagaimana agaknya keadaan kita kelak. Adakah kita akan terpelihara daripada seksaan kubur, adakah kita akan terlepas daripada persoalan - persoalan mungkar dan nakir, dan adakah kita kelak layak ditempatkan di syurga bersama orang-orang yang beriman.....", tazkirah itu diamati dengan penuh sayu. Sedang asyik berbicara dan berkongsi akan mutiara-mutiara kata, tiba-tiba air mata Yusuf  menitis ke bumi.


"Kenapa menangis, Yusuf?" soal Muaz.



"Kau lupakah akan bicara siapa ini? Kau lupakah Muaz........"  tanya Yusuf kembali.



"Mana bisa aku melupakannya, Yusuf. Kata-kata ini yang pertama ku dengar daripada bicara arwah Fakir, sahabat kita dalam halaqah usrah suatu ketika dahulu.........."



Moga arwah ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan beriman. Moga Allah memberikannya perlindungan dan moga beliau dipertemukan dengan kekasih mulia yang amat dirinduinya.



قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
“Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kalian lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kalian, kemudian kalian akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahukan kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan”. (Surat Al Jumu`ah: 8).


“Sesungguhnya segala yang bermula itu akan berakhir, setiap yang kuat itu memiliki kelemahan dan setiap yang hidup pasti akan mati. Maka beruntunglah orang-orang beriman dan merugilah orang-orang yang mengingkariNya."

 * * * TAMAT  *  *  *
x hbs edit lg .


Nukilan tak seberapa dakwah juga yang tak seberapa
hanya kernaNya bisa aku mencoret kata yang mungkin aku sendiri tidak memenuhinya
muge Allah membuka hatiku dengan apa yg kuperkata
dan muge Allah membuka pintu hati setiap yang membacanya.
Untukmu Ya Rasulullah, (hanya sekadar setitik dakwah kecilku yg x seberapa)
Allahumma solli ala Muhammad..





No comments:

Post a Comment