Pages

Wednesday, December 25, 2013

CERPEN: KAU KU SAYANG..



Ku lihat wajah ibu, ku lihat wajah ayah, hatiku menjadi sayu. Sebak aku mengenang akan jasa dan pengorbananmu. Walaupun usiamu ibu, ayah telah lanjut 70-an, kau  masih lagi memerah keringat serta membanting tulang mencari rezeki untuk menyara dirimu dan keluarga. Kudratmu kau paksa bagi mengusahakan kebun-kebun peninggalan datuk dan nenek untuk diwariskan kepada anak-cucumu. Tidak sedikitpun engkau mengharapkan hasil untuk dirimu, malahan engkau usahakan ia untuk kami, adik beradik dan anak-anak kami. Aku sungguh terharu, ibu, ayah..


Dirimu semakin uzur. Wajahmu jkelihatan semakin berkedut. Dagu sudah berlipat.  Badan semakin kurus, mengecut. Matamu semakin kabur. Gigi pun patah semuanya.


Masih terngiang-ngiang lagi dalam ingatan ini akan kata-kata ibu dan ayah. "Ibu dan ayah hanya ingin melihat kau berjaya, nak. Itulah kebahagian buat ibu dan ayah. Apa yang penting, kau bahagia..."  Ya Allah, sungguh aku merasa syahdu akan kata-kata ini. Inilah kata-kata yang menjadi penguat untukku berjaya.


Seharusnya aku merasa beruntung kerana aku masih punya ibu dan ayah. Aku boleh menatap wajahnya dan aku masih bisa meminta doa dan restu dari mereka. Aku tahu ibu, ayah, doamu tidak pernah putus siang dan malam untukku. Cuma tak dapat aku bayangkan, andainya suatu hari nanti, wajah yang aku selalu tatapi tiap-tiap hariku sudah tidak ada lagi dan tak dapat aku bayangkan seandainya mereka sudah tiada, bagaimanalah aku. Pasti aku rindu untuk melihat wajah mereka. Pasti aku rindu mendengar nasihat - nasihat dan teguran yang ikhlas lahir daripada hati mereka. Mungkin pada saat itu baru terasa ingin menghargai detik bersama mereka.

Aku merasa terharu punya ibu dan bapa yang sangat mengambil berat akan diriku. Apa sahaja yang aku minta ditunaikan oleh mereka. Bahkan juga senyumanku. Dari kecil, mereka akan sentiasa mencuba untuk membuatkan aku ketawa riang dan ceria. Memberikan sokongan yang padu untuk aku berjaya. Walaupun aku lemah dan mungkin  pernah gagal dalam peperiksaan,  mereka tidak pernah mengatakan aku bodoh, malahan mereka sentiasa memujukku, menguatkan aku dan memberi motivasi untuk aku berjaya. Pabila aku dianiaya, merekalah yang akan membela aku. Pabila aku berjaya, merekalah insan pertama yang akan meraikan aku.


Pasti akan ku rindu dirimu wahai ibu dan ayah. Entah sama ada aku yang pergi dahulu ataupun dirimu yang akan pergi dulu menyahut seruanNya,  aku tak pasti, kerna itu  ketentuanNya. Cuma selagi aku masih bernyawa, ingin aku memohon maaf darimu. Maafkan aku andai kurang menghargai kehadiranmu di sisi. Maafkan aku andai layananku padamu tidak seindah layananmu padaku. Maafkan aku andai tidak dapat membahagiakan dirimu dan maafkanlah diriku andainya sering melukakan hatimu.


Ibu dan ayah yang kusayangi, ku ingin melihat  saat - saat akhir kehidupanmu melalui jalan-jalan bahagia. Aku akan sentiasa mendoakanmu selagi ada nyawaku.


Mengimbas lagi kembali kenangan-kenangan lalu. Ibu yang membonceng aku menaiki motorsikan tanpa lesen untuk ke sekolah suatu ketika dahulu. Penat ibu berulang-alik mengambil aku dan adik beradikku yang lain. Pabila pulang, aku dihantar oleh ibu pula untuk ke kelas Al-Qur'an. Tibanya di rumah, aku dan adik beradikku sering menyepahkan rumah. Ibu tetap sabar melayan karenah kami walaupun telah kepenatan memasak, membasuh bajuku, menghantar dan mengambilku dari sekolah. Pabila malam pula, selagi kami tidak tidur, selagi itulah juga ibu dan ayah tidak tidur kerana berjaga untuk memastikan keselamatan kami adik-beradik. Apabila kami sakit, ibu dan ayahlah insan yang paling risau akan kami. Merekalah yang akan bertungkus-lumus menghantar kami adik beradik  ke klinik atau hospital.  Ibu insan paling setia meneman di sisi, menyuapkan makanan dengan penuh kasih sayang manakala ayah berkorban mencari nafkah untuk kami anak beranak.


Duhai ibu dan ayah. Aku ingin kau tahu bahwa diri ini juga sangat menyayangimu. Diri kecil ini sangat meghargai pengorbananmu. Aku kan  sentiasa mendoakan kesejahteraanmu. Izinkan aku melihat wajahmu di saat-saat akhir kehidupanku. Izinkan aku dipangku olehmu saat Izrail sedang cuba mengambil nyawaku dan izinkan juga mataku ditutup oleh tanganmu iaitu tangan yang pernah membelaiku dengan sepenuh kasih sayang dan cinta.

Ibu, ayah...
Terima kasih kerana dirimu begitu ikhlas menyayangiku sepenuh hatimu walaupun mungkin aku berulang-kali menghiris hatimu.

Ibu,ayah..

Aku doakan dirimu bahagia sepanjang masa. Jangan kau runsingkan akan diriku. Sudah cukup, kau bersusah payah akan diriku dari kecil sehingga dewasa.. Cukup dengan doamu ibu, ayah. Doa dan redhamu yang akan menuntun aku menuju redhaNya. Mudah-mudahan kita ditempatkan bersama-sama di syurga. Moga bertemu di sana. Halalkan susumu, ibu, halalkan makan minumku ayah. Salam sayang buatmu. Aku cinta kalian seperti nyawaku.




*** TAMAT***



No comments:

Post a Comment