Sunday, January 19, 2014

CERPEN KE? AKHOWAT...

Hadirnya rasa rindu anugerah daripada Dia Yang Maha Pengasih. Ya. Betapa aku merindukan mereka. Wajah-wajah ceria, wajah-wajah pejuang-pejuang agamaNya. Dipertemukan aku, insan yang begitu kerdil ini bersama insan-insan yang cukup hebat pentarbiyahannya. Tanggal Julai 2008 aku memijakkan kaki ke bumi pentarbiyahan, negeri Kelantan Darul Naim. Memulakan langkahan kaki di bumi IPG dengan bimbingan dan sokongan daripada kakak-kakak yang begitu baik akhlaknya, Kak Roshida, Kak dayah Izzati, Kak Suhana, Kak Nadzrah, K.Farahin, K.Farahani, K.Ramizah, K.suriyani. Aku cuma insan biasa. Aku bukanlah daripada kelompok yang telah ditarbiyah dari sekolah agama, tetapi asalkul dari sekolah menengah biasa. Aku begitu tertarik dengan akhlak yang ditonjolkan oleh mereka, cara mereka berpakaian, cara mereka menjaga pergaulan dan cara mereka mengamalkan gaya hidup Islam yang begitu indah. Penuh tatatertib dan menenangkan hati yang sedang mencari jalan ketenangan.


Beberapa hari kemudian selepas saat berorientasi, aku mulai dekat dengan insan-insan yang hebat itu. Kebetulan pula, masuknya bulan Ramadhan. Sewaktu itu Kak Suhana menjadi Biro Agama dan Kerohanian. Beliau pada ketika itu masih tinggal di asrama sebangunan denganku. Cukup hebat dan mulia insan ini, dan kulihat jiwanya begitu besar dalam memperjuangkan agamaNya. Masih ku ingat lagi, beliau pada ketika itu hanya memiliki sebuah motorsikal Kriss, dan berulang alik dari asrama ke masjid membawa kuih-kuih dan buah 'timun' dalam bahasa Kelantan untuk Program Iftar.  Tidak cukup baginya dengan memiliki sebuah motorsikal, dibelinya kereta bagi memudahkan urusan perjuangan termasuklah memudahkan urusan sahabat-sahabat di sekelilingnya. Letih ku lihat dirinya yang berperah keringat, masa dan tenaga dalam menguruskan program-program Islam. Dialah wakil Biro Agama dan pada masa yang sama juga merupakan Jawatankuasa tertinggi dalam Rakan Masjid. Besar dan banyak pengorbanan yang beliau dan sahabat-sahabat ini curahkan. Bahkan dari sudut harta juga.


Hari Jumaat adalah hari yang kebiasaannya masyarakat di bandaraya Kelantan akan keluar menuju ke Kuliah Tok Guru. Ketika itu, Kak Roshida dan Kak Hidayah yang selalu memimpinku ke sana. Begitu juga dengan Kak Suhana, Kak Farahin, Kak Ramizah dan lain-lain lagi. Habis sahaja kuliah, kami pasti akan mengunjungi Kedai Jaafar Rawas untuk membeli buku-buku agama. Lebih seronok lagi pabila melihat ramai sahabat-sahabat seIPG yang turut hadir ke kuliah itu. Sebelum pulang, pastinya akan ada yang ingin ke Pasar Siti Khadijah mencari barang-barang keperluan seperti jubah, tudung labuh, serunding dan lain-lain lagi.


Berada di kampus bukan sekadar mentelaah buku-buku akademik bahkan kami berpeluang untuk menuntut ilmu-ilmuNya. Suasana dan biah yang begitu mencintai ilmu membuatkan aku begitu mencintai bumi ini. 


Rakan Masjid merupakan satu persatuan Islam yang berusaha dalam memartabatkan kalimah Allah di bumi kampus IPG Kota Bharu. Dari situ, aku banyak belajar berinteraksi, berkomunikasi, berorganisasi. Aku ini bermula dengan seorang yang begitu pendiam dan kurang kawan. Dengan izin dariNya, Allah campakkan aku di sini dan aku menemukan bukan sekadar kawan, tetapi sebuah keluarga yang di dalamnya bercambah benih-benih cinta dan kasih dari Ilahi. Saling menguatkan, saling bantu-membantu, saling bekerjasama walau susah atau senang. Ustaz Amir seorang pensyarah yang begitu lembut, memiliki sifat penyayang, sifat kebapaan membuatkan kami senang berurusan dengannya. Begitu juga dengan Ustazah Norma, sedikitpun tidak pernah berkira dengan masa dan wang ringgit untuk memudahkan urusan perjuangan di kampus. Moga Allah memberkati umurmu dan memudahkan urusan-urusanmu.


Semakin lama, semakin berusia. Walau tidak beribu dan berbapa di bumi IPG ini, kami sering menerima kehadiran junior-junior yang comel-comel belaka. Entah datang dari mana, ya? Walaubagaimanapun, kehadiran mereka menambahkan lagi seri dan kekuatan untuk membantu urusan-urusan dakwah di kampus. Adik Hannan,  kak roshida, adik najwa, Fatin, Aisyah, Daniati , kak Farahin, Wahida kesemuanya dieeratkan lagi dengan solat berjemaah di surau blok. Usai maghrib, kami akan bergegas turun ke bawah untuk solat berjemaah. Usai berada di tikar sejadah, masing-masing menepuk bahu sahabat yang lain untuk menjadi imamah. Pelbagai alasan dan pujuk rayu dikeluarkan untuk menolak sahabat lain menjadi imam. Ada pula yang menyorok kerna tidak mahu ke hadapan mengimami solat. Fuhh! Kelakar bila mengenangkan. 



Kehidupanku diserikan lagi dengan usrah bulatan gembira. Pada awalnya, aku bersama Ukhti Aisyah Afifah memimpin kumpulan usrah yang terdiri daripada adik Sarah, Saniyah, Suhanim, Atiqah, Saidah, Fatihah dan lain-lain. Mereka memang awesome! Memiliki pekerti yang baik, dan mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri. Selepas daripada itu, Ukhti Aisyah pun terbang ke UK. Tinggallah diriku sendirian dan semakin lama aku merasa semakin lemah untuk mengendalikan usrah tanpanya, ukhti Aisyah, sumber inspirasi dan teman yang banyak memberikan motivasi.



Kemudiaannya, Allah hadirkan pengganti. Aku diminta bersama-sama dalam kumpulan usrah Ukhti Aisyah Nadhirah, seorang naqibah yang cukup hebat, sistematik, dan begitu berkepimpinan. Kebetulan, ukhti ini juga memiliki tarikh lahir yang sama denganku. Kembar tak seiras! Tapi beliau lebih awesomelah! Dipertemukan pula dengan adik-adik yang cukup-cukup hebat. Berlatarbelakangkan agama dan keluarga yang baik-baik dan soleh. Fateh, Teha, Rosnani, Hidayah, Syahida, Farhana, Amirah, Muntiah, Afirah, Amini, dan Dayah Almi. Fateh selalu berkongsi tentang abi yang cukup-cukup disayanginya sebagai supermurabbi, Teha dengan tarbiyah dan dakwahnya di sekolah dahulu, Nani juga dengan dunia dakwah di sekolah, Hidayah dengan kelebihan seni-seni yang ada pada dirinya, Syahida dengan petah bicaranya, Farhana dengan sifat pemalu dan tawaduknya, Mun dengan kata-kata tokoh buku yang diminatinya. Afirah, Amini, Hidayah Almi juga dengan kelebihan masing-masing yang berlatarkan ilmu agama yang cukup baik juga. 



Tiap-tiap minggu terasa seronok untuk bersama mereka. Terkadang terasa penat untuk berusrah, tetapi dengan izinNya, kepenatan itu hilang pabila melihat wajah-wajah mereka, mendengar kata-kata mereka dan semangat juang mereka. Semakin lama, kasih-sayang itu semakin bercambah dari sudut hati yang dalam. Semakin bertambah cinta dan kasih akan mereka. Tiap kali melihat mereka di kampus, pastinya akan melakar suatu kekuatan terhadap diri yang begitu naif ini. Berada bersama mereka, banyak memberikan erti dan teladan yang baik untuk diri. Kuakui, mereka memang masih muda, tetapi semuda-muda mereka, pemikiran mereka tidak mentah. Bahkan pemikiran mereka itu begitu jauh dan luas ke hadapan. Aku cukup bangga dengan mereka semua. Aku terasa begitu besar anugerah Allah berikan untukku dengan kehadiran-kehadiran mereka. Bukan sekadar dalam bulatan gembira juga bahkan di luar juga. Adik Hasanasiha yang cute dam bijak, berani dan cekal, tak kisahlah nak habaq apa pun kat beliau.  Ca, memori dengan nyamuk/lalat di surau waktu subuh memulakan detik-detik ukhuwah antara kita. Ain, dengan motornya . Rempit dakwah tu. 




Paling tidak dilupakan, housmate lama dan baru. Kak Farahani, Kak Suhana, Kak Ramizah, Kak Farahin, Awa, Kak Ida, Atin dan Kak sALWA. Masakan yang takkan dilupa, ialah daging salai masak cili api dari kak Suhana. Dan untuk kali terakhir sebelum tamat belajar, bubur nasi yang dibuatkan oleh Awa dan kak ida. Pada saai itu teruji dengan demam panas dan keracunan makanan.

Kepada semua, terima kasih , dan maafkanlah atas segala salah silap dan kekurangan diri ini. Ampun ibuk ibuk....



Hannan. Dari zaman PIM bermula sampai akhir, kami rapat. Adik dengan kakak selama-lamanya. Cukup manja, selalu pakat sakat-menyakat. Kak ain slowlah, , apa-apa je lah. Gambar yang diberi menjadi tanda kenangan. Tapi, sayangnya, gambar kak ain berbelang-belang sebab cahaya, gambar Hanan cantik saja. (Hihihi) Syukur, terima kasih. Kak ain pun tak sempat nak balas. Waktu itu, memang tengah teruji dengan wang, jadi tak dapatlah nak memberikan apa-apa tanda atau kenangan untuk adik-adik.



Tehah. Mulai rapat dengan tehah ni. Awal rapat dalam usrah dan dalam lajnah. Ingat lagi, baju yang dipakai saya kebasahan meredah hujan, sewaktu itu muktamar PIM.  Yang mengeringkan baju saya, adik kecik inilah. Rapat dan selalu keluar bersama-sama. Suka mendengar dia mengadukan masalah, berjam-jam pun tak apa. Kadang-kadang, Dia menangis dan diri ini akan cuba mendapatkannya. Kononnya, nak menenangkan dirinya. Tapi, x juga. Sebenarnya diri ini banyak belajar daripadanya. Dia berjiwa besar, matang, kuat , bijak , hati lembut dan juga mudah mengalir air mata....apapun dik yang diluahkan, kak ain akan senantiasa menyokong. Cuma harapannya, agar kamu terus kuat dan terus mara ke hadapan. Sedih tau bila adik ni makin dewasa. sebab makin dia dewasa, makin saya tak dapat nak bersama2 dengannya. Tak dapat nak berkongsi dengannya lagi dan melhat dia bersama-sama air matanya...cewah....Tapi x mengapa, itulah kehidupan. semakin lama, kehidupan akan semakin menjauhi. macam x sesuai je analogi ini. tak ada pertalian. 



Azua, azura............dirimu begitu diirindui, moga kuat dan tsabat dik. 

dayah. Mar, Zaira, dan semualah....yang disebut dan tak disebut yang mengenali diri ini...

Diri ini memang lemah dan banyak kekurangan, 
muga ukhuwah kita takkan terhenti di sini.

In sya Allah, moga ukhuwah kita ini berkekalan sampai bila-bila.

Wallahualam. Maafkan andai ada bicara yang menyentuh kalian. 
Maaf juga bahasa lintang pukang ya,

wasalam.

ukhuwah yg sejati takkan luput dari ingatan.
takkan juga hilang dari pandngan (aqal)
rindunya suatu anugerah yg x terperi..
moga persahabatan kita ikhlas dan diredhai  Allah s.w.t..



















Wednesday, January 15, 2014

CERPEN: SERUAN DAIE...



"Ya Allah.. Hamba berdosa padaMu. Ampunkan dosa hamba. Tiada yang dapat mengampunkan dosa hamba selain daripadaMu".  Air mata taubat mengalir ke pipi, alunan istighfar ditutur tanpa henti. Bisikan doa di malam hari menjadi saksi  dan penghubung antara sang hamba dan PenciptaNya. Cukup sunyi pada sepertiga malam. Kesejukan menambahkan kemalasan bagi sang hamba yang kerdil untuk bangun menghadapNya. Jam di dinding tepat jam 4.30 pagi. Kemalasan dan kemaksiatan selalu menjadi penghalang untuk para hamba bangun merintih di hadapanNya di sepertiga malam. Berbeza dengan Muhammad Fakir, seorang anak muda yang begitu kental dengan urusan dakwah di kampus. 



"Lihatlah daun-daun yang gugur ini, dan renungkanlah ke dalam hati kita. Mungkin hari ini giliran daun-daun ini untuk gugur.E esok, lusa atau tulat pasti akan tiba juga giliran kita untuk gugur lalu kembalilah kita ke pangkuan Allah azza wajalla. Bagaimana agaknya keadaan kita kelak. Adakah kita akan terpelihara daripada seksaan kubur, adakah kita akan terlepas daripada persoalan - persoalan mungkar dan nakir, dan adakah kita kelak layak ditempatkan di syurga bersama orang-orang yang beriman.....", ungkap Fakir dalam halaqah usrah bersama sahabat-sahabatnya. sahabat-sahabatnya yang lain tunduk membisu. Muaz menggenggam tangan sahabat-sahabatnya yang berada di situ sambil menitiskan air mata keinsafan. 



"Aku berharap agar kita semua dipertemukan di syurga dan aku berharap agar kita semua bisa terselamat daripada azab api neraka.," luah Muaz dengan penuh pengharapan. Pertemuan itu diakhiri dengan bacaan doa rabitah, antara doa yang mengikat hati-hati yang bersatu memikul tugas dakwah.



"Ish ish ish......Depa ni asyik melepak dekat kantin sahaja, berbual - bual kosong. Sekarang waktu dhuha, daripada depa duduk melepak di kantin saja, baik depa pi semayang dhuha....."  kata Saad kepada Fakir dan Muaz.


"Hang dah pi sembahyang dhuha ke belum?" soal Fakir.



"Sat gi aku pi lah...." jawab Saad.



"Saad, tak baik berkata sebegitu. Mungkin mereka dah menunaikan solat dhuha di bilik mereka atau mungkin mereka sudah solat lebih awal lagi daripada kita. Kita tak boleh berkata melulu sekalipun sangkaan kita itu mungkin benar. Kita juga perlu bersangka baik dan apa yang penting kita tidak boleh merendah-rendahkan orang lain. Mungkin cara mereka tidak sama dengan kita, tetapi mana tahu amalan mereka lebih Allah terima....." nasihat Fakir penuh kelembutan kepada Saad. Saad tertunduk malu lalu bingkas meninggalkan Fakir dan Muaz tanpa sebarang kata.



Ya Allah. Apa yang telah aku ungkapkan tadi? Benar kata Fakir, aku tak sepatutnya berkata sebegitu. Ya Allah ampunkan dosaku dan buangkanlah sifat-sifat mazmumah yang berada dalam hatiku. Fakir, terima kasih atas teguranmu. Monolognya bersendirian.




*   *   *

"MAT, dah bunyi azan. Jom kita ke masjid solat berjemaah." pelawa Fakir.


"Tak sempatlah, aku nak balik tidur. Kelas ada pukul 2 tengahari nanti, aku nak rehat dulu."


"Ok. Tak apa. Aku pergi dulu, ya?".


"Kau tak letih ke, Fakir. Kau tak nak balik dulu dan berehat di asrama?"


"Tak apa, aku boleh berehat di masjid sahaja. Boleh iktikaf sekejap..." 


"Kalau macam tu, aku nak ikut pergi masjidlah, solat berjemaah sekali."



Selesai solat Zohor berjemaah, Fakir tercari-cari seorang sahabatnya yang tidak ditemukan dalam saff seperti hari-hari biasa. 


"Yusuf mana, ya? Selalu ada waktu Zohor. Hari ni dia tak ada pula."


"Yusuf?  Dia tak hadir kuliah hari ni. Demam." Jawab Zaid.


"Patutlah tak nampak kelibat dia hari ni. Jom ziarah dia lepas kelas nanti."

*  *  *



"Apa khabar, Yusuf. Bagaimana keadaanmu?"


"Beginilah keadaannya, Fakir. Tak larat nak pergi kuliah."


"Yusuf  dah makan?"


"Belum."


"Ahmad, tolong pinjamkan rice cooker dekat bilik sebelah. Kita buat bubur nasi untuk Yusuf ".


"Biar betul, Fakir. Pandai masak ke?".


"Tak tahu. Hang pi tanya resipi kat mak hang sat..."


"Ok. Roger. Aku sms mak aku sat..."


"Fakir, Ahmad, terima kasih banyak-banyak sudi datang melawat. Sedap bubur hampa buat. Rasa nak lagi. Kalau sakit macam ni, boleh dapat makan free selalu. Sedap pulak tu......" luah Yusuf dengan nada manja.


"Yusuf, Yusuf..... Kita berdoa biarlah minta sihat...."


"Fakir, Ahmad. Sebelum hampa keluaq, cek nak peluk hampa sat." Berguguran air mata Yusuf. Terharu dengan keprihatinan yang sering dilontarkan oleh mereka berdua terhadapnya.


"Yusuf.... Jangan menangis. Macam perempuanlah hang ni. Hang nak pi masjid tak maghrib nanti? Kalau hang nak pi, cek mai papah hang. Kalau tak, kita solat berjemaah sekali dalam bilik Yusuf?"  Soal Fakir.


"Aku nak pergi masjidlah. In sya Allah, lepas aku telan ubat, ok lah nanti."


"Baguslah. Aku rindu nak dengar suara hang mengaji."

*  *  *



"KITA INI IBARAT musafir yang sedang mengembara di bumi pinjaman Allah. Allah hamparkan kehidupan ini sebagai tempat ujian untuk menilai diri kita sebagai seorang hamba. Kita nak tempah tiket ke syurga perlu berusaha dan berkorban. Hidup di dunia ibarat pentas lakonan. Kitalah wataknya. Pengarahnya ialah Allah. Yang akan menilai kita nanti juga Allah......" bicara Yusuf  dalam kuliah maghrib. Yusuf seorang insan yang baik dari sudut akhlak bahkan memiliki kelebihan suara yang cukup merdu. Masjid sentiasa diimarahkan dengan alunan-alunan zikrullah dan majlis-majlis ilmu. Pasti akan ada yang bertanyakan tentang Yusuf jika tidak kedengaran suaranya yang sering mengumandangkan seruan azan dan mengimami solat-solat fardhu.



"Fakir, Yusuf. Nanti tolong bangunkan Muaz sebelum subuh nanti. Takut tak tersedar. " pinta Muaz. 


"Kalau sedarlah.. Kalau tak, maaflah". Jawab Yusuf.


"Tak apa... Niat itu yang penting.." jawab Muaz slumber.

*  *  *


"YUSUF, Muaz bangun... Dah pukul 4.30 pagi. Bangun! Bangun!".  Suara Fakir memecah kesunyian malam.



"Sekejap lagi, mengantuk sangat", jawab Muaz sambil menarik selimut kembali.


" Bangun Muaz. Malam tadi bersungguh-sungguh minta dikejut."  kata Fakir sambil merenung dengan penuh kasih terhadap sahabatnya itu.



Alunan ayat-ayat Al-Quran dibacakan sendirian oleh Yusuf secara perlahan manakala Fakir masih khusyuk mendirikan solat-solat sunat.  Muaz pula baru selesai mendirikan solat sunat tahajud. 



"Muaz, Yusuf. Kalian sudah buat witir?


"Belum Fakir. Mari kita solat dan berdoa sekali?"


"Ya Allah. Kami menadah tangan yang penuh dengan sarat dosa. Kau ampunilah dosa-dosa kami. Kami sering alpa, Ya Allah. Kami begitu lemah Ya Allah. Terkadang kami gagal menempatkan Engkau satu-satunya di hati kami. Lisan kami, hati kami  seringkali melupakanMu. Adakah Engkau akan menerima solat kami , ibadah-ibadah kami yang penuh dengan kekurangan?



Ya Allah.....
Ampunkanlah segala dosa ibu bapa kami yang telah melahirkan dan membesarkan kami. Kau berkatilah mereka dan Engkau tambahkanlah rezeki mereka. Tidak ada harta berharga yang dapat kami berikan selain doa yang bisa dititipkan. Kami teramat sayang pada ibu dan ayah kami yang tercinta. Gantikanlah segala kesakitan dan pengorbanan mereka di dunia ini dengan mahar yang begitu indah di syurga. 



Ya Allah, tempatkan kami di syurga bersama ibu bapa kami, keluarga kami, sahabat-sahabat kami,  kaum kerabat dan umat Islam. Sungguh, kami merayu padaMu. Jadikanlah baki-baki usia kami ini sebagai peluang untuk kami kembali menghampiriMu. 



Sudilah memimpin kami, Ya Allah dan sudilah memandang wajah kami di akhirat kelak, Ya Allah. Matikanlah kami dengan kesudahan yang baik dan izinkan kami melihatkan wajah kekasihmu yang mulia..................................



Doa Fakir terhenti. Apabila menyebut nama kekasih yang mulia itu terasa semakin bergetar suaranya. Semakin kuat esakannya. Yusuf dan Muaz yang berada di sisi turut mengalirkan air mata. Bagaimana mungkin dapat kami bertemu dengannya? Perjuangannya sendiri tidak bisa kami pikul dengan baik dan penuh ikhlas. Terkadang juga kami mengeluh keletihan. Ya Rasulullah. Bagaimana bisa dirimu sebegitu tabah menghadapi setiap ujian? ............................................



"Yusuf. 5 minit sebelum masuk waktu Subuh tolong kejutkan Fakir. Fakir nak tidur sekejap. Gerakkan nanti, ya?" pinta Fakir.



"Baik..." jawab Yusuf kehairanan. Pelik pulak Fakir ni... Selalunya Fakir akan pergi ke setiap bilik dan mengetuk pintu bilik sahabat-sahabat yang lain untuk bangun solat subuh berjemaah. 



"Muaz, pergi ketuk bilik sahabat dan kejutkan mereka?"  pinta Yusuf.


"Fakir kan ada." jawab Muaz.


"Fakir nak tidur sekejap". jawab Yusuf.


Muaz bangun mengerling ke arah Yusuf yang sedang nyenyak tidur. Pelik Fakir, selalu dia yang sibuk mengejut sahabat bangun subuh.


"Fakir, jadi imam." pinta Yusuf.


"Yusuflah. Fakir kurang sihat."  ucap Fakir.


" Tak mahu. Kami undi PU Fakir."


Fakir ke hadapan, mengambil tempat dan tugas menjadi Imam. Sempat lagi dia tersenyum kepada sahabat-sahabatnya yang lucu itu.  


Selepas berdoa, Fakir rebah dan sempat dipangku oleh Yusuf yang duduk di belakangnya.


"Fakir! Fakir! Kenapa Fakir?"  soal Yusuf penuh gelisah.



"Yusuf, Fakir rasa terlalu lemah. Fakir rasa Allah mahu jemput Fakir pulang. Fakir minta maaf daripada semua. Sampaikan salam rindu buat ibu dan ayah Fakir dan katakan Fakir memohon ampun dan redha mereka."



"Mengucap Fakir, Ashadu an la ilaha illallah, waasyhadu anna muhammadun Rasulullah...........".



Kalimah itu dialun dengan cukup sempurna oleh Fakir. Air mata Yusuf dan sahabat-sahabat yang lain mengalir deras. "Fakirrrrrrrrrr..." jerit Yusuf perlahan sambil memangku tubuh sahabatnya yang tidak bernyawa itu. Bacaan Yassin dikumandangkan. Terasa aneh. Kebiasaan Solat subuh tidak terlalu ramai jemaah yang hadir. Selalu yang hadir sahabat-sahabat Fakir se'blok sahaja. Pada kali ini penuh ruangan masjid.



Yusuf lemah. Putus kalam. Lututnya seakan-akan tidak berfungsi. Muaz datang menghampiri sambil menenangkan Yusuf yang terlalu sedih. 



"Yusuf, sabar. Terimalah andai itu sudah ketentuanNya. Sudah masa untuk dia kembali. Pasti selepas ini kita akan mengekorinya. In sya Allah, di syurga..........kita akan dipertemukan kembali..........."  ucap Muaz tersekat-sekat sambil memeluk erat Yusuf.



"Aku tak sangka Muaz. Fakir akan pergi secepat ini meninggalkan kita. Baru sebentar tadi dia mengimami kita, Muaz. Baru sebentar tadi dia membacakan doa di sisi kita, baru sebentar tadi dia mengejutkan kita bangun beribadat kepadaNya. Moga Allah merahmati rohnya. Fakir terlalu baik, Muaz. Dia yang sentiasa memberikan aku kekuatan di dalam jalan dakwah ini, dan dia tak pernah jemu menasihatiku. Bagaimana untuk aku merasa tidak sedih kerana di setiap hari dia akan memanggilku untuk solat fardhu bersama bahkan pada setiap malam, dialah yang sering ke bilikku lalu membangunkan aku untuk solat bersama-sama dengannya. Bubur yang dimasakkan olehnya beberapa minggu lalu itu adalah yang terakhir untukku."  luah Yusuf dengan nada sedih.

*  *  *



SUATU PETANG, Yusuf keluar berusrah bersama-sama temannya di bawah pohon rendang. Lalu diungkapkan kata-kata ini, "Lihatlah daun-daun yang gugur ini, dan renungkanlah ke dalam hati kita. Mungkin hari ini giliran daun-daun ini untuk gugur. Esok, lusa atau tulat pasti akan tiba juga giliran kita untuk gugur lalu kembalilah kita ke pangkuan Allah azza wajalla. Bagaimana agaknya keadaan kita kelak. Adakah kita akan terpelihara daripada seksaan kubur, adakah kita akan terlepas daripada persoalan - persoalan mungkar dan nakir, dan adakah kita kelak layak ditempatkan di syurga bersama orang-orang yang beriman.....", tazkirah itu diamati dengan penuh sayu. Sedang asyik berbicara dan berkongsi akan mutiara-mutiara kata, tiba-tiba air mata Yusuf  menitis ke bumi.


"Kenapa menangis, Yusuf?" soal Muaz.



"Kau lupakah akan bicara siapa ini? Kau lupakah Muaz........"  tanya Yusuf kembali.



"Mana bisa aku melupakannya, Yusuf. Kata-kata ini yang pertama ku dengar daripada bicara arwah Fakir, sahabat kita dalam halaqah usrah suatu ketika dahulu.........."



Moga arwah ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan beriman. Moga Allah memberikannya perlindungan dan moga beliau dipertemukan dengan kekasih mulia yang amat dirinduinya.



قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
“Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kalian lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kalian, kemudian kalian akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahukan kepada kalian apa yang telah kalian kerjakan”. (Surat Al Jumu`ah: 8).


“Sesungguhnya segala yang bermula itu akan berakhir, setiap yang kuat itu memiliki kelemahan dan setiap yang hidup pasti akan mati. Maka beruntunglah orang-orang beriman dan merugilah orang-orang yang mengingkariNya."

 * * * TAMAT  *  *  *
x hbs edit lg .


Nukilan tak seberapa dakwah juga yang tak seberapa
hanya kernaNya bisa aku mencoret kata yang mungkin aku sendiri tidak memenuhinya
muge Allah membuka hatiku dengan apa yg kuperkata
dan muge Allah membuka pintu hati setiap yang membacanya.
Untukmu Ya Rasulullah, (hanya sekadar setitik dakwah kecilku yg x seberapa)
Allahumma solli ala Muhammad..





Family

Family
cousin, ibu saudara, adik dan abang.

Mum n Dad ..

Mum n Dad ..
Hanya Dia yang Tahu betapa sayangnya saya pada mereka ^_^

Usrati Jannati.

Usrati Jannati.
Pemangkin kekuatan diri..